Salam Ma'al Hijrah 1431H

Sabtu, 19 Disember 2009


Assalamualaikum warahmatullaahi wabarokaatuh..Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kerana dengan izin-Nya dapat lagi untuk saya menghidupkan ruangan blog ini setelah hampir sebulan saya menyepi. Hari ini 19 Disember 2009 bersamaan dengan 2 Muharam 1431H. Salam ma’al hijrah buat seluruh umat Islam. Moga kita semua sentiasa di bawah lindungan rahmat-Nya.

Apabila menyebut tentang hijrah atau tahun baru Islam, lazimnya kita tidak akan lari dari menyebut atau menyingkap kembali lembaran sirah Nabi Muhammad s.a.w bersama-sama sahabat muhajirin, berhijrah dari Kota Makkah ke Kota Madinah. Peristiwa hijrah ini merupakan lambang penyatuan umat di dunia demi agama Islam yang tercinta. Selain itu, bahang sambutan ma’al hijrah dihangatkan lagi dengan menyebut tentang membetulkan niat, memperbaiki sikap dan amalan, memperbaharui azam, mengeratkan hubungan persaudaraan dan perpaduan, dan seumpamanya. Ayuh kita mengenang kembali hadis nabi saw.

Malahan, setiap tahun dapat dilihat sambutannya di Malaysia, pelbagai tema atau slogan silih berganti bagi menghidupkan penghayatan terhadap rentetan peristiwa hijrah junjungan besar kita baginda s.a.w bersama para sahabatnya. Di samping itu, aktiviti-aktiviti ilmiah seperti ceramah, kuliah, konsert nasyid telah diadakan bagi mengajak umat Islam khususnya dan amnya kepada seluruh rakyat bagi bersama-sama menyelami, merenungi dan menghayati hikmah di sebalik peristiwa hijrah agar dapat dijadikan pedoman hidup.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin al-Khattab r.a, kata beliau, “ Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

" Hanyasanya (sah atau sempurna) segala amalan dengan niat. Hanyasanya untuk setiap orang apa yang dia niatkan. Oleh itu sesiapa berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah tujuan dia berhijrah tersebut."

(Riwayat al-Bukhori dan Muslim)

Hadis tersebut menjelaskan betapa pentingnya niat. Segala amalan yang hendak dilakukan mestilah didahului dengan niat. Selain itu, niat juga berkait rapat dengan kewajiban hijrah. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah S.W.T dalam Kitab al-Qur’an dalam surah an-Nisa’ ayat 100, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."


Sempena tahun baru 1431H ini, sama-samalah kita membetulkan niat kita kembali. Ingatlah asal-usul kita, tujuan kita wujud di atas dunia pinjaman ini, tanggungjawab dan peranan yang sedang digalas. Marilah perbaharui azam dan tekad kita untuk berhijrah dari sikap negatif kepada positif, dari kejahilan kepada keilmuan, dan dari kebatilan kepada kebenaran.

Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan disini, di mana lagi? Renung-renungkanlah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."


( Surah Luqman ayat 34)

Berubahlah sebelum terlambat, jangan sampai Maut hadir menjemput baru kita nak bertaubat. Mati tak mengira usia. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
(Surah al-Anbiya’ ayat 35)

Marilah kita sama-sama berhijrah. Sama-sama berhijrah dan berjihad di jalan Allah dalam menegakkan dan mempertahankan agama Islam yang tercinta. Tautkanlah dan satukanlah hati-hati kita dalam meneruskan perjuangan Rasulullah S.A.W serta mengembalikan kegemilangan Islam.

"Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, kemudian mereka di bunuh atau mati, benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka rezki yang baik (syurga). Dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rezki."
(surah al-Haj ayat 58)


Begitu juga dalam surah al-Anfaal ayat 72 Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertoIongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itu satu sama lain ‘lindung-melindungi’. Dan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajiban sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

‘Lindung-melindungi’ bermaksud orang Muhajirin dan Orang Ansar nenjalinkan ikatan persaudaraan yang sangat teguh untuk membentuk masyarakat yang baik. Demikianlah keteguhan dan keakraban mereka itu sehingga pada permulaan Islam mereka waris-mewarisi seakan-akan mereka bersaudara kandung.

0 comments:

Catat Ulasan

Zikrullah

Photobucket

Jom Berhibur

Kalimah Cinta