Erti Pengorbanan

Khamis, 18 November 2010


Erti Pengorbanan

Menyingkap kisah pengorbanannya,
Serasa bermain di tubir mata,
Kedengaran rintihan sang bapa,
Sang anak menutur bicara.

Mimpi yang perlu diterjemahkan,
Sebagai wahyu Robbul ‘alamiin,
Ujian yang dianugerahkan,
Kepada hamba yang beriman.

Iringan redha yang menemani,
Walau hati berat untuk jalani,
Bagai tersepit diri,
Antara kasih seorang abi,
Atau Rasul yang ditaklifi.

 
Namun,
Disanggupi dengan redha.
Kerna cinta terhadap-Nya,
Melebihi segalanya,
Tanda diri menyahut kalam-Nya.

 
Lantas,
Kaki mengorak langkah,
Bertemu sang anak di pangkuan zaujah,
Cahaya sakinah yang terpalit di wajah,
Tatkala menyahut seruan Allah.

Diletakkan putera yang dikasihi,
Diikat tangan dan kaki,
Tegak berdiri seorang ayah yang dicintai,
Bersama parang yang telah ditajami.
Butir mutiara yang terbit cuba disekati,
Menghadap putera yang sangat dicintai,
Pandangan mata bersilih ganti,
Parang juga wajah anak yang dikasihi.

Ternyata ujian ini dilalui,
Dengan iringan keikhlasan taqwa billahi,
Kesetiaan Ismail terhadap abiihi,
Membantu sang bapa melalui ujian ini.

Kambing disediakan sebagai gantian,
Sebagai tebusan nyawa puteranya,
Seusai turun firman-Nya,
" Wahai Ibrahim!
Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu,
demikianlah Kami akan membalas
orang-orang yang berbuat kebajikan ."





































Salam 'Idil Adha..

Isnin, 15 November 2010


Haji Menuju Allah
Album : Syukur 21
Munsyid : Raihan

Labbaikallahumma Labbaika
Labbaika Laa Syarikalaka Labbaika
Innalhamda Wal Ni'mata
Laka Wal Mulk Laa Syarikalaka

Pergi haji
Artinya menuju Allah yang esa
Membawa hati dan diri yang hina
Memberi hadiah kepada Allah
Berhati-hatilah menghadapNya

Setiap hamba
Pergi haji dengan segala yang baik
Hati yang baik akhlak yang baik
Harta yang halal hati yang bersih
Niat yang suci amal mulia

Pergi haji
Ilmu tentangnya mestilah ada
Agar syarat dan rukun tepat sempurna
Sah dan batalnya dapat dijaga
Agar amalan hajinya tidak sia-sia

Tata tertib dan akhlak kenalah jaga
Buatlah dengan tenang serta tawadu'
Sabar dan tolak ansur mestilah ada
Jangan berkasar merempuh manusia

Tanah haram jagalah pantang larangnya
Pergi haji bukannya masa untuk membeli belah
Beringatlah betulkanlah niat kita
Moga-moga haji kita diterima

Jagalah pantang larangNya
Yang boleh rusakkan hati
Jauhkan maksiat dan yang sia-sia
Takutkan Allah yang esa
Ingat selalu padaNya
Agar kita senantiasa memiliki jiwa hamba






Kisah Qabil & Habil

Rabu, 20 Oktober 2010




Assalamualaikum..alhamdulillah masih diberi peluang untuk berada di bumi pinjaman Allah S.W.T. Sudah agak lama laman blog ini dibiarkan menyepi..Idea terlalu banyak untuk diluahkan, namun kesempatan masa untuk menulis terkadang membantutkan niat saya untuk terus menulis. Untuk membiarkan laman ini terus bersawang mustahil bagi saya, oleh itu saya mengambil inisiatif dengan copy & paste dari tugasan saya bersama partner saya sendiri dalam madah Kajian Teks : Al-Qur'an dan Al-Hadith semasa semester 4 yang lalu.

Kami telah diberikan tugas oleh pensyarah kami iaitu Ustaz Anhar bin Opir untuk memilih satu kisah sahaja dari Kitab Qososul Anbiya' karangan Ibnu Kathir, untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan membuat ulasan serta perbandingan dengan kitab-kitab tafsir yang lain. Subhanallah..alangkah indahnya mempelajari kisah-kisah yang ada disebut dalam Ak-Qur'aanul Kariim. Kami telah memilih tajuk Qabil dan Habil untuk mengupas dengan lebih terperinci. Jom sama-sama kita baca, jika ada sebarang kekurangan dan kelemahan jangan segan-silu untuk menegur saya. Sesungguhnya saya masih dalam proses belajar. Masih bertatih dan tidak terlepas dari membuat kesilapan.

1.0 PENDAHULUAN :

Kitab Kisah Para Nabi karangan Abu Fida’ Ibnu Kathir merupakan kitab terjemahan yang menjadi sumber utama kami untuk diulas. Kami perlu melakukan ulasan terhadap salah satu kisah daripada kisah-kisah para Nabi sebagai satu tugasan kumpulan bagi subjek Kajian Teks Al-Qur’an dan Hadith. Di dalam kitab kisah para Nabi ini kami telah memilih satu tajuk mengenai kisah Anak Adam iaitu Habil dan Qabil, kisah ini terdapat di dalam

al-Qur’an surah al-Maidah ayat 27-31.

Untuk mengulas kisah ini kami telah memilih beberapa kitab tafsir lain sebagai rujukan pentafsirannya mengenai kisah ini, antaranya kitab Tafsir Fi Zilalil Qur’an karangan Asy-Syahid sayyid Qutb Rahimahullah, Tafsir al-Azhar Juzu’ 4 oleh Prof Dr. Hj AbdullahMalik AbdulKarim Amrullah (HAMKA), Tafsir Nurul Qur’an, sebuah Tafsir Sederhana Menuju Cahaya al-Qur’an oleh Allamah kamal Faqih Imani, Tafsir al-Mishbah, Pesan, Kesan dan Keserasian al-Qur’an karangan M.Quraish Shihab, Cahaya al-Qur’an, Tafsir Tematik Surah al-Baqarah – al-An’am oleh Muhammad ali Ash-Shabuny dan juga kitab Lubaabut Tafsir Min Ibn Kathir oleh Dr. Abdullah bin Muhammad bin Abdurahman bin Ishaq Al-Sheikh. Dalam ulasan ini, beberapa perkara yang kami cuba ketengahkan ialah mengenai rumusan kisah, persamaan dan perbezaan yang terdapat dalam kitab tafsir Ibn Kathir dengan kitab-kitab tafsir yang kami rujuk dan juga kesimpulan keseluruhan ulasan.

2.0 RUMUSAN KISAH QABIL DAN HABIL


Berdasarkan surah al-Maidah ayat 27-31 di dalam al-Qur’an telah menceritakan tentang kisah anak Nabi Adam iaitu Qabil dan Habil. Menurut pentafsiran kitab Ibn Kathir, kesimpulan kisah ini menceritakan tentang kejadian pembunuhan antara dua putera Nabi Adam iaitu Qabil dan Habil disebabkan perasaan hasad dengki. Kisah ini berlaku apabila Nabi Adam mahu menikahkan puteranya itu dengan anak perempuan kembaran puteranya, iaitu Habil menikah dengan kembaran Qabil manakala Qabil menikah dengan kembaran Habil. Namun Qabil telah menolak kerana beliau ingin menikah dengan kembarannya sendiri kerana ia lebih cantik daripada kembaran Habil.

Oleh kerana itu, Nabi Adam mengarahkan kedua-dua puteranya itu untuk mempersembahkan korban setiap seorang. Barangsiapa korbannya diterima Allah, maka dialah yang berhak menikahinya. Habil mempersembahkan kambing yang gemuk, manakala Qabil mempersembahkan hasil taninya yang buruk. Setelah itu, turun api menyambar korban habil dan mengabaikan korban Qabil. Lalu Qabil marah sehingga berkata “ Aku akan membunuhmu (Habil)”. Dan Habil menjawab, seperti firman Allah :

“ Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertaqwa”.

(Surah al-Maidah, ayat 27)

Disebabkan korban habil diterima, Qabil tidak puas hati sehingga pada suatu malam Qabil terlalu marah dan memukul Habil dengan besi dan menyebabkannya meninggal. Menurut tafsir Ibn Kathir, ada yang mengatakan Habil dibunuh dengan batu karang yang dilemparkan ke kepalanya ketika tidur oleh Qabil. Dan ada yang mengatakan Qabil mencekik leher Habil dan menggigitnya seperti binatang buas sehingga meninggal. Namun, sebenarnya Habil lebih kuat daripada Qabil tetapi beliau enggan membalas (melakukan dosa dengan membunuh) kerana lebih takut kepada Allah sepertimana beliau berkata di dalam surah al-Maidah ayat 28.

Kisah ini juga menceritakan tentang penyesalan Qabil apabila membunuh saudaranya sendiri sehingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan terhadap mayat Habil. Namun, Allah telah mengirimkan dua ekor burung gagak ke bumi, burung itu bertengkar dan mengakibatkan salah seekor daripadanya meninggal lalu burung yang hidup (membunuh) itu menggali lubang (tanah) untuk menguburkan saudaranya itu. Perbuatan itu disaksikan oleh Qabil lalu dia berasa kesal di atas perbuatannya lalu berkata “ Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu perbuat seperti burung gagak ini, lalu aku menguburkan mayat saudaraku ini”.

Dan akhirnya ia melakukan apa yang dilakukan oleh burung gagak tersebut, menggali tanah dan menguburkannya dalam lubang tersebut. Dan perbuatannya itu telah menimpakan kerugian kepada dirinya (Qabil) sehingga dia berasa kesal . Kisah ini juga menunjukkan contoh penyakit hasad dengki atau dosa jenayah yang pertama dilakukan oleh manusia yang merangsangkan kesedaran terhadap perlunya satu syari’at yang menjalankan undang-undang qisas yang adil dan menerima balasan setimpal terhadap jenayah yang dilakukan .

3.0 PERSAMAAN

Berdasarkan kepada enam buah kitab tafsir yang di rujuk untuk membantu kami membuat ulasan terhadap kitab Tafsir Ibnu Kathir mengenai kisah Anak Adam : Qabil dan Habil, terdapat beberapa persamaan dalam pentafsiran ayat 27-31 dari surah al-Maidah.

3.1 Persamaan Pertama : Korban yang dibawa oleh Anak-anak Adam.

Persamaan pertama dapat dilihat pada ayat 27 iaitu kesemua pentafsir dari enam kitab tafsir yang kami rujuk menyatakan bahawa kedua-dua anak Nabi Adam menyediakan korban masing-masing iaitu Habil menyediakan kambing yang gemuk manakala Qabil menyediakan hasil tani yang jelek dan hanya salah seorang saja yang diterima oleh Allah iaitu dari orang-orang yang bertaqwa.

3.2 Persamaan Kedua : Alat yang digunakan untuk Membunuh

Pada ayat 28 pula, hanya pentafsir daripada kitab Tafsir al-Azhar sahaja yang mempunyai persamaan dengan tafsir Ibnu Kathir yang menyatakan bahawa Qabil membunuh Habil dengan menggunakan batu karang. Kitab tafsir yang lain tidak menyatakan tentang ini. Namun kesemua pentafsir mentafsirkan bahawa Habil tidak membalasi atau melakukan pembunuhan terhadap Qabil walaupun dia lebih kuat daripada Qabil kerana dia lebih takut kepada Allah. Dan dengan ketaqwaan dirinya itulah yang menahan dia daripada melakukan dosa.

3.3 Persamaan Ketiga : Kebaikan Habil

Merujuk kepada ayat 29, kesemua pentafsir daripada enam kitab tafsir itu menjelaskan bahawa Habil tidak mahu membawa dosa saudaranya (membunuh). Dosa orang yang dibunuh akan ditanggung oleh orang yang membunuhnya. Jika Qabil meneruskan niatnya untuk membunuh, jadilah dia penghuni neraka sebagai balasan bagi orang yang membuat zalim. Maksud ayat ini ialah jika engkau meneruskan pembunuhan, engkau (Qabil) akan menerima dua dosa iaitu dosa hati yang tidak ikhlas kepada Allah (membunuh) dan dosa membunuh saudara sendiri.

3.4 Persamaan Keempat : Dorongan Nafsu Qabil dan Burung Gagak

Persamaan seterusnya pada ayat 30 dan 31 dari surah al-Maidah ialah mengenai dorongan nafsu Qabil untuk melakukan pembunuhan dan tentang burung gagak yang dikirimkan oleh Allah s.w.t. Di sini, para pentafsir semuanya mentafsirkan tentang Qabil terdorong oleh nafsunya untuk membunuh Habil sehingga Habil meninggal dunia. Setelah itu, Qabil tidak tahu hendak berbuat apa dengan mayat saudarnya itu sehinggalah Allah mengirimkan dua ekor burung gagak dan kedua-duanya bertengkar sehingga salah satu daripadanya membunuh yang lainnya.

Lalu, burung itu menggali tanah untuk menguburkan saudarnya itu. Kejadiannya ini disaksikan oleh Qabil dan lalu berkata “ Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku?”. Lalu Qabil pun menanam saudaranya sepertimana yang dilakukan oleh burung gagak. Maka akhirnya Qabil menyesal akan apa yang telah dilakukannya

Merujuk kepada kitab Ibn Kathir, terdapat hadith yang dikemukakan mengenai kisah ini ialitu Nabi S.a.w telah bersabda : “Tiada seorang yang terbunuh secara zalim melainkan pada anak Adam yang pertama bagian darahnya, kerana ia yang pertama kali membuat contoh pembunuhan. (HR. Ahmad). Hadith ini juga merupakan persamaan yang dikemukakan dalam semua kitab-kitab tafsir yang dirujuk.

4.0 PERBEZAAN

Terdapat beberapa perbezaan yang dapat dikesan berdasarkan kelima-lima kitab tafsir yang dirujuk dengan kitab tafsir asal ‘ Qososul Anbiya’ ’ .

4.1 Perbezaan Pertama : Huraian Ayat

Terdapat beberapa kitab tafsir yang dirujuk yang menjelaskan dan menghuraikan makna bagi setiap istilah yang terdapat dalam ayat 27 hingga 31 secara terperinci. Kitab-kitab tafsir tersebut adalah tafsir Fi Zilalil Qur’an, tafsir Cahaya al-Qur’an, tafsir Al-Azhar, tafsir al-Mishbah, dan juga tafsir Nurul Qur’an.

Contohnya, merujuk kepada kitab tafsir Al-Mishbah ada menghuraikan kata utlu (bacakanlah), terambil dari kata tala-yatlu, yang beerti mengikuti. Pembaca satu kisah adalah orang yang mengikutkan penyebutan satu berita dengan berita yang sesudahnya. Menurut tafsir ini juga, al-Qur’an menggunakan kata tala yang beerti membaca untuk objek bacaan yang suci atau yang hak dan benar.

4.2 Perbezaan Kedua : Alat yang digunakan oleh Qabil

Merujuk kepada kitab tafsir Al-Azhar, pentafsir telah mengemukakan pendapat daripada ahli-ahli tafsir lain yang ada menyebut tentang kisah pembunuhan Qabil terhadap saudaranya Habil. Menurutnya, Qabil menimpakan batu hingga pecah kepala Habil ketika Habil sedang nyenyak tidur di pinggir gunung selepas penat mengembala kambing.

4.3 Perbezaan Ketiga: Bilangan dan Keadaan Burung Gagak

Menurut tafsir al-Azhar, hanya seekor burung gagak yang datang mengorek tanah, mencari-cari makanan, menggali tanah dan menimbunnya kembali. Selain itu, merujuk kepada tafsir Al-Mishbah pula, riwayat mengatakan bahawa burung gagak yang menggali lubang untuk menguburkan burung gagak yang dibunuhnya. Manakala disisi lain pula, dapat juga dikatakan bahawa burung gagak termasuk salah satu burung yang biasa menggali lubang untuk digunakan pada kesempatan lain atau boleh jadi ia menggali tanah untuk mendapatkan sesuatu yang dapat dimakan.

Di samping huraian dalam kitab tafsir al-Azhar dan juga tafsir al-Mishbah, disebut juga dalam kitab tafsir Nurul Qur’an yang telah mengemukakan hadis yang diriwayatkan oleh Imam ash-Shadiq as bahawa ketika Qabil membunuh saudaranya, dia meninggalkan mayatnya di padang pasir, sebab dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Dengan segera seekor binatang buas mendekati mayat Habil, dia menunjukkan kepada Qabil cara-cara menyembunyikan mayat saudaranya di dalam tanah.

4.4 Perbezaan Keempat : Anak-anak Adam as.

Tafsir al-Azhar telah mengemukakan beberapa pendapat ahli tafsir yang lain yang menyatakan sekali nama saudara kembar perempuan Habil iaitu Leodza dan tidak disebut di dalam kitab Qososul Anbiya’. Leodza dikatakan telah dijodohkan Qabil, dan Iqlima pula dijodohkan kepada Habil. Namun, Qabil telah jatuh hati kepada saudara kembarnya sendiri iaitu Iqlima.

4.5 Perbezaan Kelima : Mengekalkan Kisah

Menurut asy-syahid Sayyid Qutb rahimahullah dalam kitab tafsirnya , beliau mengekalkan kisah ini dalam bentuknya yang umum tanpa diperincikan sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam nas-nas al-Qur’an. Sedangkan, menurut beliau lagi, penceritaan secara terperinci tidak menambah sesuatu kepada matlamat asasi dan kemungkinan tidak mencapai maksud yang disampaikan oleh al-Qur’anul kariim dan kemungkinan akan berlaku perkara tokok tambah. Oleh itu, beliau memilih untuk berhenti setakat apa yang dijelaskan oleh nas-nas al-Qur’an sahaja tanpa membuat penentuan dan perincian.

5.0 PENUTUP

Kesimpulannya, al-Qur’an perlu dijadikan sebagai sumber rujukan utama selain al-Hadith dan as-Sunnah. Kisah-kisah yang terdapat dalam al-Qur’an mempunyai banyak pengajaran dan panduan hidup manusia. Sebagaimana dengan ayat 27 hingga 31 yang telah dibincangkan. Kisah ini menjadi iktibar pembunuhan pertama kalinya berlaku di muka bumi dalam sejarah manusia yang disebabkan oleh wanita, hasad dengki, tamak haloba, dendam dan sifat-sifat mazmumah yang terpahat dalam jiwa manusia.

Di samping itu, Allah telah menyediakan jalan penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi segala masalah yang dihadapi oleh manusia. Antara hikmah yang terdapat dalam kisah ini menunjukkan bahawa manusia hendaklah berhati-hati dengan penyakit hati dan sifat-sifat mazmumah. Bukan hanya terus mengikut kehendak nafsu dan hasutan iblis laknatullah.

Selain itu, kisah Qabil dan Habil ini juga menjelaskan tentang asal-usul manusia sekali gus menolak teori-teori Barat yang mengatakan manusia berasal daripada beruk atau monyet. Bermula daripada Adam dan Hawa, manusia mula berkembang-biak yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang, keturunan, agama, budaya dan sebagainya.
















Sahabat..

Selasa, 28 September 2010

Sahabat..
Ku lafazkan bait kalam ini,
Buat tatapan sahabat yang ku cintai,
Moga ianya menjadi tatapan peribadi,
Bersama menyemai ukhwah ini.
Sahabat..
Betapa berat ujian kau lalui,
Belum mampu untukku ku hadapi,
Sesungguhnya DIA tahu apa yang tidak diketahui,
Tabahilah lalui rona kehidupan ini,
Penuh onak dan duri.

 
Sahabat..
Inginku bersama mu lagi,
walau sedetik yang dilalui,
Namun,
aku perlu redha dengan ketentuan Ilahi,
Tugas yang ditaklifi ini,
Mendorongku untuk masih berada disini,
Hanya secebis doa yang ku kirimi,
Pencetus kekuatan buat di kau di kasihi.

 
Sahabat..
Ingatlah kami disini,
Akan tetap bersama walau dilanda ombak badai,
Walau terkadang jasad tak dapat menemani,
Namun..
Doa,mutiara hikmah, beserta inspirasi..
Akan tetap aku iringi,
Kerna..aku yakini,
Sahabat adalah cerminan peribadi,
Pedamping kehidupan insani.

 
Sahabat..
Sering ku syukuri,
Seringkali dijulangkan rasa kesyukuran ini,
Ditemukan oleh-NYA insan ini,
Seungkap lafaz dihiasi,
Nurul Hazirah Jamaluddin..
Mengiringi akhlakmu yang terpuji.

 
Sahabat..
Ingatlah bahawa hidup ini,
Medan perjuangan insani,
Keriangan,kesedihan bersilih ganti,
Mencorak warna hidup ini,
Hitam putih kehidupan ini,
Harus diselami,
Berteman obor iman dan taqwa diri,
Menjadi pembakar,pelita atau cahaya hidup ini,
Tabahlah hadapi ketentuan Ilahi,
Sesungguhnya Allah sangat menyayangi,
Insan yang bernama sahabat ini.























Antara Garam dan Gula

Sabtu, 18 September 2010

Garam???

ATAU

Gula ????
  
Assalamualaikum warahmatullaahi wabarokaatuh..alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad serta ahli keluarganya dan juga para sahabatnya. Tepat jam 6.00 pagi tadi, saya dan teman-teman seangkatan telah selamat tiba di Pekan Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan dengan rasa penuh kesyukuran di atas lindungan rahmat-Nya . Selepas menempuhi perjalanan dari Kelantan ke Tanjung Malim yang memakan masa hampir 9 jam lamanya tanpa sebarang kesulitan.

Waktu yang sedikit terluang ini, saya cuba memerah minda saya untuk mencerna dan mengolah beberapa isi penting untuk digabungkan bersama sebagai santapan minda bersama sahabat-sahabat yang dikasihi. Walau bukanlah hasil tulisan saya ini adalah yang terbaik, namun saya cuba untuk memasukkan teladan yang terbaik untuk dikongsi bersama manfaatnya. Saya akui dalam usia yang baru setahun jagung ini, masih belum mampu untuk bergerak seiring dengan para penulis sudah lama bergiat aktif dalam dunia penulisan.

'Antara Garam dan Gula' manakah yang lebih baik? tiba-tiba tercetus di minda saya untuk berbincang persoalan ini apabila pagi tadi ketika membancuh air Teh, saya tertukar antara gula dan garam. Ceritanya begini, perut yang mula berkerongcong ini meronta-ronta untuk diisi. Mata ini melilau-lilau mencari letaknya gula di dapur. Akhirnya terjumpa bekas bertudung kuning. Saya mendapati dalam bekas tersebut ada gula. Memang pada mulanya agak ragu, ni garam ke gula? tak terfikir pula untuk mencuba terlebih dahulu. Dengan selambanya saya memasukkan gula tu ke dalam mug saya. Selepas itu saya mulamemasukkan biskut ke dalam air tersebut. Berkerut kening saya serta-merta, "aik, apa pasal biskut ni rasa masin?" hati ini masih tak puas hati, dihirupnya sedikit air itu.."huh, aku termasuk garam rupanya, bukannya gula."

Hahaha..dengan spontannya tergelak seorang diri..itu tak termasuk diketawakan sahabat-sahabat serumah saya lagi apabila saya buka kisah tak masuk akal ni..Sehinggakan ada salah seorang sahabat perli saya :"ai..macam mana nak kahwin ni, gula dan garam pun tak reti nak beza?" Tersenyum kambing sahaja yang mampu terukir saat itu..Tapi sempat lagi membela diri.."ala..garam tu kasar..saya ingatkan gula kasar..sebijik macam gula."

Ada sesuatu yang dapat saya kaitkan dari kisah lucu saya ini, usah kita cuba membezakan antara gula dan garam. Masing-masing mempunyai peranannya yang tersendiri. Jika terlebih menggunakan gula, kemungkinan besar akan mendatangkan penyakit diabetis atau kencing manis dan penggunaan garam yang berlebihan juga boleh membawa kepada darah tinggi. Bergantung kepada kita bagaimana untuk mengguna dan memanfaatkannya dengan cara yang betul.

Teringat pula bait-bait kata hikmah yang masih tersimpan dalam telefon bimbit saya yang mengisahkan tentang Sehelai Rumput :

Pada suatu hari, seorang murid bertanya kepada gurunya ketika gurunya bercerita tentang KASIH-SAYANG, "Cikgu, bagaimana kita nak pilih seseorang yang terbaik sebagai orang yang paling kita sayang? Bagaimana nak kekalkan kasih-sayang tersebut?"

Maka guru itu menjawab:"Ok, kamu ikut apa yang saya suruh. Kamu pergi ke padang, kamu berjalan di atas rumput sambil memandang rumput di hadapan kamu. Plih yang PALING CANTIK tanpa menoleh ke belakang lagi, dan petik rumput yang paling cantik itu dan bawa ke kelas".

Apabila pelajar tersebut kembali ke kelasnya, didapati tiada sehelai rumput pun di tangannya. Guru tersebut bertanya, "Kenapa tiada rumput yang dipilih?" Maka, pelajar itu menjawab: "Tadi, semasa saya berjalan..saya mencari rumput yang PALING CANTIK, memang ada banyak yang cantik, tapi cikgu kata pilih yang PALING CANTIK. Maka saya pun terus berjalan ke depan sambil mencari yang PALING CANTIK tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi, apabila sampai di penghujung padang, saya tak jumpa pun yang PALING CANTIK itu jadi tiadalah rumput yang boleh saya petik sebab cikgu kata saya tak boleh menoleh ke belakang lagi."

Akhirnya, guru tersebut menjawab :" Ya, itulah jawapannya. Maknanya apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita mencari yang lebih baik daripada itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan mata kita sebaik-baiknya. Jangan kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap sudah berlaku. Semoga yang berlaku tidak berulang lagi.

Dan ingatlah, orang yang paling kita sayang itulah yang paling cantik dan paling baik walaupun jika nak diikutkan banyak lagi yang cantik dan baik seperti rumput tadi."

Pengajarannya: Hargailah sesuatu yang telah dimiliki jangan sampai terlalu mencari sesuatu yang belum pasti menjadi milik kita..Adakalanya, apa yang kita anggap baik itu sebenarnya tidak baik bagi kita dan sesuatu yang dianngap tidak baik itu sebenarnya baik untuk kita..Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui.

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud :

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. "


Salam Eidilfitr

Jumaat, 17 September 2010

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Salam Ramadhan Kariim

Selasa, 10 Ogos 2010

Album : Maafkan

Munsyid : Raihan
Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti
Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua









Muhasabah Ilmu

Selasa, 13 Julai 2010

Assalamualaikum..sudah agak lama membiarkan laman Cinta Teragung ini menyepi. Ini menunjukkan pemiliknya tengah kematian idea untuk menulis bagi keluaran seterusnya. Lantaran itu, saya menjelajah dan memungut beberapa cetusan idea daripada sahabat-sahabat, buku-buku, pemerhatian terhadap isu semasa, pengalaman yang diperolehi di universiti dan sebagainya, lantas tercetus di minda untuk berceloteh tentang ’Muhasabah Ilmu’. Memandangkan penyakit kejahilan menyelubungi diri saya tika ini.

Setelah memasuki alam kampus, saya mula menyedari betapa pentingnya ilmu. Bukan hanya sekadar untuk lulus dalam peperiksaan, malah lebih utama lagi dalam proses menguasai dan mengamalkannya. Bersahabat pula dengan sahabat-sahabat yang kebanyakannya lebih hebat daripada saya, menyedarkan saya bahawa betapa jahilnya saya saat ini. Teringat akan kata-kata Imam as-Syafi’e yang berbunyi:

”Tiap-tiap bertambah ilmuku akan bertambah pula keinsafan bahawa terlalu banyak yang aku tidak tahu.”

Kata-kata keramat ini saya sematkan dalam diri saya dan sering saya akui apabila mengetahui atau memperolehi sesuatu ilmu baru. Tidak dapat dinafikan, bahawa apabila kita terjun dalam bidang ilmu ini, kita akan terdedah dengan situasi atau kecelaruan untuk memanfaatkan ilmu yang diperolehi itu lantaran untuk membezakan antara teori dan juga praktikal. Maka disinilah peranan kita untuk menterjemahkan ilmu yang telah dikuasai dalam kehidupan seharian.

Mungkin juga kita pernah mendengar satu ungkapan yang berbunyi ”al-ilmu fil kutub, la fis suduur” (Maksudnya: Ilmu itu hanya di buku atau kitab bukan di dada). Hakikatnya memang tidak dapat dinafikan apabila senario ini telah menjadi satu kelaziman. Saya tidak ingin menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya apa-apa yang berlaku saya cuba menghisab diri-sendiri terlebih dahulu. Dengan itu lebih bertepatan dengan tajuk kali ini iaitu Muhasabah Ilmu.

Apabila kejahilan mula menguasai diri, hati dilanda kerisauan..kecelaruan..rendah diri, lemah semangat..tidak berkeyakinan dan sebagainya..segalanya itu jika kita lihat dari sudut pandang negatif. Cuba kita berada dalam posisi yang positif, kesedaran terhadap penyakit kejahilan yang telah menguasai diri itu, kita manipulasikannya sebagai kata-kata perangsang, obor semangat juang untuk terus mentarbiah diri, memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Keutamaan menuntut ilmu banyak juga disebutkan dalam nas-nas al-Qur’an dan juga al-Hadith. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 18 yang bermaksud :

Allah menerangkan (kepada sekalian makhluknya dengan dalil-dalil bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian), Tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia: Yang Maha Kuasa, Lagi Maha Bijaksana.”

Dalam ayat lain pula Allah S.W.T menegaskan tentang kelebihan orang-orang yang menuntut ilmu, sebagaimana firman-Nya dalam surah Fatir ayat 28 yang bermaksud :

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.”

Selain itu, menurut Riwayat oleh Thabrani, Abu Na’im dan Ibnu Abdul Barr bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya :

Apabila aku didatangi oleh suatu hari dan tidak bertambah ilmuku pada hari itu, yang dapat mendekatkan diriku kepada Allah s.w.t maka tidak ada keberkatan untukku pada hari itu.”

Imam Syafi’e juga pernah berkata mengenai keutamaan menuntut ilmu yang berbunyi :"Mencari ilmu itu lebih utama daripada mengerjakan amalan sunat.”

Menurut Fatah al-Maushili rahimahullah berkata:
Bukankah seseorang yang sakit itu apabila tidak makan dan minum dan tidak mengambil ubat, akhirnya akan mati,”Kawan-kawannya menjawab: ”Ya benar.” Dia berkata lagi: ”Demikian pula hati, apabila tidak menerima hikmat dan ilmu selama tiga hari, pasti ia akan mati.”

Manakala Ibnu Mas’ud pula berkata:
Hendaklah kamu semua mencari ilmu pengetahuan sebelum ia dilenyapkan. Lenyapnya ilmu pengetahuan ialah matinya orang-orang yang memberikan atau yang mengajarnya. Seseorang itu tidak akan dilahirkan dalam keadaan pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu mestilah dicari dengan belajar.”

Setelah membentangkan beberapa hujah yang menjelaskan keutamaan menuntut ilmu ini, saya teringat sebuah kisah yang pernah diceritakan oleh pensyarah saya dalam kuliah Kajian Teks: Al-Qur'an dan al-Hadith pada semester yang lepas. Sama-sama kita hayati kisah ini, semoga ianya dijadikan ikhtibar dan pengajaran bersama..aamiin.
Daripada al-Mua’ammal bin Ismail katanya:
Seorang syaikh telah menceritakan saya beberapa hadis tentang kelebihan surah-surah. Lalu saya berkata kepada syaikh itu:

"Siapakah yang menceritakan kepada anda? Dia menjawab: "Seorang lelaki di Madain telah menceritakan kepada saya dan dia masih hidup." Lalu saya pergi menemuinya dan bertanya: "Siapakah yang menceritakan kepada anda? Dia menjawab: "Seorang syaikh di Wasit telah menceritakan kepada saya dan dia masih hidup." Lalu saya pergi menemuinya dan dia berkata: Seorang syaikh di Basrah telah menceritakan kepada saya." Kemudian saya pergi menemuinya dan dia berkata: Seorang syaikh di Abbadan telah menceritakan kepada saya." Lalu saya pergi menemuinya dan dia menarik tangan saya dan membawa masuk ke sebuah rumah. Tiba-tiba saya dapati di dalamnya sekumpulan pengikut tasawuf bersama seorang syaikh. Lelaki berkata kepada saya: "Syaikh inilah yang telah menceritakan kepada saya. Lalu saya berkata: "Wahai syaikh ! Siapakah yang telah menceritakan kepada anda? Dia menjawab: "Tidak ada sesiapapun yang menceritakan kepada saya tetapi saya melihat orang ramai tidak memberi perhatian kepada al-Quran maka saya menciptakan hadis ini untuk mereka supaya hati-hati mereka kembali berpaling kepada al-Quran.







Hari ini Sesudah Kelmarin

Selasa, 8 Jun 2010


Hasil nukilan: SAPIAH Derahman, penuntut Tahun Dua Pergigian, (UIAM)


"MAHU dengar cerita?" Kau membuat tawaran yang cukup menarik. Aku panggung kepala, cuba mencari wajahmu. Bayu pagi mengelus lembut, sesekali menampar mesra ekor serban putihmu yang terjuntai. Kau baru sahaja kembali dari masjid, menyertai program qiamullail yang diadakan saban minggu. Ibumu, merangkap ibu saudaraku, sesekali riuh kedengaran memarahi adik kembarmu, Ziad dan Usamah.
“Tentang apa? Kalau dalam lima minit masih tidak memenuhi seleraku, aku tekan signal merah.” Ujarku membutir gelak. Kau senyum cuma. Matamu yang redup, mengerdip tenang. “Pernah dengar tentang perang Arab-Israel?” Aku geleng. Sejarah merupakan subjek yang terakhir akucintai. SPM telah membuktikannya. 11 A dan 1 B. Sejarahlah yang ganjil itu. Lagipun sejarah umum semacam itu tak pernah aku cuba menelitinya. Masa senggangku lebih terisi dengan majalah ringan warna-warni yang membariskan lawak yang tidak mencabar akal.

“Kau tahu kedudukan Masjid al-Aqsa di sisi umat Islam?”

“Masjid ketiga suci selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.” Aku menjawab pantas, bimbang dituduh jahil. Kau sering bertanya seolah-olah ustaz yang menguji pengetahuan pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Sering kali hati kecilku bertanya mengapa kau tidak mengambil jurusan agama - kau memilih jurusan kejuruteraan - di universiti. “Aku tidak mahu memisahkan antara agama dan kehidupan. Aku mahu menjadi protaz professional yang juga seorang ahli agama).” Dan aku diam tak berkutik. Pastinya dengan ilmu yang dangkal, aku tidak mampu berbahas denganmu.

“Kau ambil tahu apa yang sedang berlaku di sekitar rumah Allah SWT itu sekarang?”

Aku terpaksa angkat bendera putih. Aku benar-benar ketinggalan dalam hal ini. “Biar aku ceritakan padamu. Pelampau Yahudi saat ini tanpa segan silu dan gentar menggali kawasan berdekatan masjid itu dengan alasan remeh, mencari tinggalan sejarah. Mereka juga menggali di perkarangan masjid itu untuk membina laluan pejalan kaki. Walhal, mereka berselindung di sebalik tujuan utama untuk merosakkan struktur masjid yang berusia hampir 1400 tahun untuk membina Kuil Suci - Haikal Solomon- dan apa tindakan penduduk dunia terutamanya umat Islam? Mereka diam membisu seolah mulut dizip, bimbangkan nyawa terancam oleh pendukung kuat Israel, Uncle Sam.” Sunyi setagal. Mukamu memerah.

Aku dapat melihat rasa marah yang teramat di situ. Matamu tunak ke depan, tidak berkelip. “Aku masih ingat saat Amerika mencanangkan Islam sebagai agama yang kejam hanya kerana pemerintah Taliban memusnahkan patung Buddha Bamiyan di Afghanistan. Kejadian itu juga sebagai titik tolak untuk negara angkuh yang mendakwa dirinya polis dunia itu menubuhkan kerajaan boneka di negara itu dengan bantuan Pakatan Utara. Neraca Amerika tak pernah adil dalam menimbangkan? Unesco juga aktif menyelar tindakan itu. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga sepi tanpa suara, walaupun kewujudannya dulu pada September 1969 selepas insiden kebakaran masjid itu oleh Dennis Michael, penganut fahaman Zionis dari Switzerland.” Kau memuntahkan segala fakta yang tersimpan dalam memorimu.

Aku menelan dengan air liur yang terasa sedikit kesat, betapa jahilnya aku tentang keadaan saudara yang dizalimi. “Sebenarnya Israel sudah menguasai al-Quds. Hanya golongan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas yang dibenarkan memasuki masjid untuk menunaikan solat. Yahudi amat bimbang jika umat Islam solat berjemaah kerana ia melambangkan perpaduan ummah dan perpaduan ini akan mengancam kedudukan penjarah itu di tanah yang dirampas. Tapi, sekarang tempat ibadah Muslim di bawah cengkaman kafir!” Suaramu kasar, sedikit membentak lantas menyambung. “Pernah satu ketika ada gerakan Mujahidin dengan tekad yang kuat ingin membebaskan al-Quds dengan mempertaruhkan nyawa mereka. Keinginan ini tak mungkin terlaksana tanpa iman yang kuat dan yakin tentang janji Allah. Jerangkap samar beratur menanti nyawa, merentang jalan untuk membebaskan kiblat pertama umat Islam itu. Pengorbanan ini antara yang paling berani yang dirakamkan oleh sejarah, satu nyawa melayang untuk satu jerangkap samar sedangkan yang di belakang terus maju dan akhirnya berjaya menawan kembali masjid itu. Mahu tahu apa kata pasukan penjarah melihat keberanian itu?”

Kaubertanya dan kau jua yang menjawab. “Kami berperang dengan orang gila yang mencari mati. Itu katanya saat melihat tentera Mujahidin berebut-rebut memburu syahid. Sedang tentera mereka sedaya-upaya mengelak daripada kematian.” Angin semilir berpusar, menebarkan debu yang sesekali memekapi wajahku. Kaumeraup papan wajahmu.


Sesekali cuti, rumahmu jadi tempat bersantai yang paling ideal. Paling tidak, kekayaan ilmumu sudi singgah menyiram kemarau fikiranku. “Adham, minum.” Suara Mak Ngah, ibumu memanggil. Kau dan aku seiring mengorak langkah dari beranda ke ruang tamu. “Ah!” Aku menepuk dahi sendiri. Televisyen sedang menayangkan drama bersiri negara seberang. Drama yang pada firasatku mampu memberikan impak yang positif terhadap pembentukan jiwa remaja. Sejenak aku mencongak dan cuba membanding beza antara tema drama negara sendiri yang mendominasi siaran media elektronik akhir-akhir ini. Perkara yang paling jelas ialah kurangnya pergantungan kepada Tuhan atau penghayatan agama yang sekali gus menyalahi prinsip rukun negara yang teratas. Tatkala masalah menimpa, pelakon drama tempatan lebih mudah mengamuk semacam dirasuk syaitan berbanding menadah tangan memohon doa, dikuatkan hati menerima ujian seperti yang dititikberatkan dalam drama negara seberang. Juga mereka senang melontarkan sumpah seranah tanpa menghiraukan kempen budi bahasa budaya kita yang dilancarkan oleh kerajaan. Filem semacam ini, apa mampu digunakan untuk mempromosi negara, lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Malaysia?

“Hei!” Satu bantal singgah tepat ke mukaku. Kau semacam kerang busuk, sengih menayangkan gigi yang putih berbaris. “Kerut seribu di dahimu, masalah apa?” Kau melontar tanya. “Masalah negara agaknya.” Habib, adik bongsumu cepat saja menyampuk. “Aku tengah berfikir bagaimana filem yang membenarkan remaja lelaki dan perempuan tinggal serumah berminggu lamanya, tanpa ikatan perkahwinan mempengaruhi jiwa anak-anak (sedang filem itu diberi pengiktirafan oleh masyarakat)? “Kaubercakap tentang filem Melayu atau Hollywood?” “Aku tidak mahu berbicara tentang filem yang negaranya mengamalkan seks bebas secara terang-terangan.”

“Oh!” “Kanak-kanak senang meniru apa yang dilihat. Aku takut jika mereka menganggap hal itu suatu yang halal untuk dibuat dan cuba melakukannya, Nau’zubilllah!” Ya Allah, minta dijauhkan fitnah itu menyerang hamba-Mu yang lemah. Dalam diam aku memohon. Hari itu, sehingga bebola mentari tegak di kaki langit, kita larut dalam diskusi yang tidak pernah wujud noktahnya. Penamatnya hanya akan wujud pabila nyawa direnggut Izrail yang datang tanpa amaran. Mak Ngah hanya melihat atau sesekali menyampuk pabila debat kita semakin hangat.

Sering kali kauberkata dalam nada mengejek pabila hujahku mudah kaupatahkan. “Lihatlah dengan mata hati, bukan mata nyatamu!” Kau sering saja memancing kemarahanku, mentang-mentanglah aku ini muda tiga tahun daripadamu dan senyumanmu melebar ke telinga, meraikan kekalahanku. Aku tewas kerana tidak bersedia dengan fakta yang secukupnya untuk mencantas hujahmu dan sering kali aku berazam membaca sebanyak mungkin untuk tujuan itu.

Kita tamatkan debat yang tak dirancang pabila sayup alunan Surah al-Rahman dialunkan oleh Syeikh Abdul Rahman Sudaisi dari masjid berdekatan, menandakan solat fardu Zuhur akan mengambil tempat dalam suku jam lagi. Petang itu, aku cuba-cuba membelek helaian akhbar, mencari fakta untuk dijadikan modal, andai tiba-tiba kau muncul memprovok dan mengganggu emosiku.

Pandanganku tertarik kepada sejarah Masjid al-Aqsa, tempat suci tiga agama samawi: Islam, Yahudi dan Kristian. Masjid ini pernah dibebaskan oleh Umar al-Faruq daripada pendudukan Kristian dan ia bertahan di bawah pemerintahan Islam selama 400 tahun sebelum ditawan pasukan pimpinan Raymond Toulouse dari keluarga diraja Perancis. Mereka memasuki Palestin melalui Acre pada 1099 M dan terus menduduki bumi yang menjadi rebutan itu. Aku bagai terbayang-bayang bagaimana bumi al-Quds bermandi darah. Tentera salib melakukan pembunuhan beramai-ramai selama seminggu sehingga menimbunkan mayat tujuh puluh ribu Muslim termasuk cendikiawan, ahli ibadat dan pemimpin membukit memenuhi setiap jalan lorong. Kejadian ini telah menobatkan Godfry Gouillon dengan jolokan pembela al-Quds. Tambah malang lagi, Kerajaan Islam yang wujud saat itu, kerajaan Abbasiyah dan Fatimiyah sekadar membisu melihat saudara mereka yang dinafikan hak tanpa berbuat apa-apa. Umat Islam sejak dulu lagi bersikap seperti enau di dalam belukar, hanya mementingkan diri masing-masing. Takutnya mereka kepada musuh melebihi takut kepada Penguasa Alam.

Aku susuri lagi galur sejarah. Al-Quds kembali ke tangan umat Islam pada 1187 di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Dan seluruh dunia menyaksikan bagaimana konsep perang di dalam Islam begitu berbeza dengan tentera salib ( Perang ini juga dikenali dengan Perang Salib ) saat mereka menawan al-Quds. Tiada nyawa orang awam yang hilang kerana perang hanya melibatkan tentera. Bahkan, tiada paksaan untuk penganut agama lain menukar agama kepada Islam kerana al-Quran telah menukilkan tiada paksaan dalam beragama. Juga tiada rumah ibadat yang diruntuhkan kerana Islam amat menghormati tempat pengabdian kepada Tuhan.

Cuti yang masih berbaki lima hari, aku habiskan dengan menyelongkar buku-buku sejarah di perpustakaan mini di rumahku. Tak seperti selalunya, menghabiskan waktu pagi, atas ranjang melayani mimpi atau waktu sore di pondok di simpang jalan, cuti kali ini jadi berlainan. Kau hanya senyum saat aku memperihal tentang itu. Aku kini boleh berbangga kerana tidak lagi terlopong saat kaubercerita tentang Israel, Palestin atau penjajahan moden yang berlaku atas alasan menegakkan demokrasi. Aku juga tak lagi segan untuk duduk semeja dan bertukar-tukar pendapat denganmu. Kita tak lagi bagai anjing dan kucing seperti sebelum ini.

Petang itu, kauberkunjung ke rumahku. Aku tidak tahu mengapa wajahmu lain daripada sebelum ini. Mendung bergayut di wajahmu bagai ada masalah besar yang bersarang dalam kotak fikir. Tingkahmu aneh sekali. Berkali-kali kaumeminta maaf kepadaku dan keluarga. Aku jadi tak berani mengajakmu membuat lelucon dan bercanda gurau. Dan pertemuan itu, jadi tambah aneh kerana kaukeluar tanpa menyapa dan berbual-bual seperti sebelum ini. Aku jadi kecil hati dengan sikapmu. Ini bukan sifat engkau sepanjang dua dekad aku mengenalimu. Aku tidak pasti jika kau juga menyedari kepelikan itu.

Saat kau di pintu barulah aku teringat. “Aku balik ke kota berlumpur - gelaran kita untuk ibu kota - esok.” Kau hanya mengangguk tanpa suara, tiada lagi pesanan berjela seperti sebelum ini. Aku kira aku harus senyap untuk tidak membebankan lagi peti fikirmu. Aku menghantar kepulanganmu hanya dengan lirik mata. Detik menganyam masa. Masa menarah tebing hari. Aku membilang dengan jari jemari, hampir sebulan aku sepi tanpa khabarmu.

Kau di mana? Hujung minggu seperti selalunya, akhbar menjadi santapan rohaniku. Ruang pertama yang kutatap ialah ruangan luar negara, menjejaki perkembangan saudara seagama yang tak pernah wujud amannya. Masakan boleh pemimpinnya berjabat tangan, sedang penduduknya masih dibasahi hanyir darah dan penderitaan tanpa henti?

Lobi kolej dipenuhi oleh pelajar yang ingin keluar ke bandar, mencari keperluan atau sekadar mencuci mata. Aku tidak bercadang untuk keluar, memandangkan simpananku yang semakin menyusut. Mataku singgah kepada berita yang mengambil tempat di pojok kanan akhbar.

Berita itu meletakkan Baitulmaqdis sebagai tempatnya. Ia memaparkan seorang pelajar universiti yang ditahan rejim Zionis kerana disyaki terlibat dalam merancang serangan berani mati (sering kali kita berkecindan, Israel hanya hebat jika membuat serangan takut mati). Secercah mata, gambar yang terpampang di situ menarik minatku untuk menatapnya buat kali kedua. Ada tampang yang kukenal. Bukankah hijau itu warna kegemaranmu? Ya Allah, aku menggenyeh-genyeh lagi mata. Benarkah itu dirimu? “Ibu, sudah lihat akhbar?” Aku menelefon serta-merta. “Ya.” Cukup dengan sepatah itu yang hampir membuatku pitam. Untung nasibmu tidak mampu aku ramalkan setelah rejim itu berhasil mengurungmu dalam sangkar besi.

Ditahan tanpa perbicaraan atau diseksa sehingga menjadi gila?

Dan hari ini, sesudah kelmarin kaupergi, izinkan aku terus membajai tarbiah yang kausemaikan dalam jiwa ini, walau pemergianmu ke bumi berdarah itu tiada dalam pengetahuanku.

Zikrullah

Photobucket

Jom Berhibur

Kalimah Cinta