Muhasabah Ilmu

Selasa, 13 Julai 2010

Assalamualaikum..sudah agak lama membiarkan laman Cinta Teragung ini menyepi. Ini menunjukkan pemiliknya tengah kematian idea untuk menulis bagi keluaran seterusnya. Lantaran itu, saya menjelajah dan memungut beberapa cetusan idea daripada sahabat-sahabat, buku-buku, pemerhatian terhadap isu semasa, pengalaman yang diperolehi di universiti dan sebagainya, lantas tercetus di minda untuk berceloteh tentang ’Muhasabah Ilmu’. Memandangkan penyakit kejahilan menyelubungi diri saya tika ini.

Setelah memasuki alam kampus, saya mula menyedari betapa pentingnya ilmu. Bukan hanya sekadar untuk lulus dalam peperiksaan, malah lebih utama lagi dalam proses menguasai dan mengamalkannya. Bersahabat pula dengan sahabat-sahabat yang kebanyakannya lebih hebat daripada saya, menyedarkan saya bahawa betapa jahilnya saya saat ini. Teringat akan kata-kata Imam as-Syafi’e yang berbunyi:

”Tiap-tiap bertambah ilmuku akan bertambah pula keinsafan bahawa terlalu banyak yang aku tidak tahu.”

Kata-kata keramat ini saya sematkan dalam diri saya dan sering saya akui apabila mengetahui atau memperolehi sesuatu ilmu baru. Tidak dapat dinafikan, bahawa apabila kita terjun dalam bidang ilmu ini, kita akan terdedah dengan situasi atau kecelaruan untuk memanfaatkan ilmu yang diperolehi itu lantaran untuk membezakan antara teori dan juga praktikal. Maka disinilah peranan kita untuk menterjemahkan ilmu yang telah dikuasai dalam kehidupan seharian.

Mungkin juga kita pernah mendengar satu ungkapan yang berbunyi ”al-ilmu fil kutub, la fis suduur” (Maksudnya: Ilmu itu hanya di buku atau kitab bukan di dada). Hakikatnya memang tidak dapat dinafikan apabila senario ini telah menjadi satu kelaziman. Saya tidak ingin menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya apa-apa yang berlaku saya cuba menghisab diri-sendiri terlebih dahulu. Dengan itu lebih bertepatan dengan tajuk kali ini iaitu Muhasabah Ilmu.

Apabila kejahilan mula menguasai diri, hati dilanda kerisauan..kecelaruan..rendah diri, lemah semangat..tidak berkeyakinan dan sebagainya..segalanya itu jika kita lihat dari sudut pandang negatif. Cuba kita berada dalam posisi yang positif, kesedaran terhadap penyakit kejahilan yang telah menguasai diri itu, kita manipulasikannya sebagai kata-kata perangsang, obor semangat juang untuk terus mentarbiah diri, memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Keutamaan menuntut ilmu banyak juga disebutkan dalam nas-nas al-Qur’an dan juga al-Hadith. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 18 yang bermaksud :

Allah menerangkan (kepada sekalian makhluknya dengan dalil-dalil bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian), Tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia: Yang Maha Kuasa, Lagi Maha Bijaksana.”

Dalam ayat lain pula Allah S.W.T menegaskan tentang kelebihan orang-orang yang menuntut ilmu, sebagaimana firman-Nya dalam surah Fatir ayat 28 yang bermaksud :

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.”

Selain itu, menurut Riwayat oleh Thabrani, Abu Na’im dan Ibnu Abdul Barr bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya :

Apabila aku didatangi oleh suatu hari dan tidak bertambah ilmuku pada hari itu, yang dapat mendekatkan diriku kepada Allah s.w.t maka tidak ada keberkatan untukku pada hari itu.”

Imam Syafi’e juga pernah berkata mengenai keutamaan menuntut ilmu yang berbunyi :"Mencari ilmu itu lebih utama daripada mengerjakan amalan sunat.”

Menurut Fatah al-Maushili rahimahullah berkata:
Bukankah seseorang yang sakit itu apabila tidak makan dan minum dan tidak mengambil ubat, akhirnya akan mati,”Kawan-kawannya menjawab: ”Ya benar.” Dia berkata lagi: ”Demikian pula hati, apabila tidak menerima hikmat dan ilmu selama tiga hari, pasti ia akan mati.”

Manakala Ibnu Mas’ud pula berkata:
Hendaklah kamu semua mencari ilmu pengetahuan sebelum ia dilenyapkan. Lenyapnya ilmu pengetahuan ialah matinya orang-orang yang memberikan atau yang mengajarnya. Seseorang itu tidak akan dilahirkan dalam keadaan pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu mestilah dicari dengan belajar.”

Setelah membentangkan beberapa hujah yang menjelaskan keutamaan menuntut ilmu ini, saya teringat sebuah kisah yang pernah diceritakan oleh pensyarah saya dalam kuliah Kajian Teks: Al-Qur'an dan al-Hadith pada semester yang lepas. Sama-sama kita hayati kisah ini, semoga ianya dijadikan ikhtibar dan pengajaran bersama..aamiin.
Daripada al-Mua’ammal bin Ismail katanya:
Seorang syaikh telah menceritakan saya beberapa hadis tentang kelebihan surah-surah. Lalu saya berkata kepada syaikh itu:

"Siapakah yang menceritakan kepada anda? Dia menjawab: "Seorang lelaki di Madain telah menceritakan kepada saya dan dia masih hidup." Lalu saya pergi menemuinya dan bertanya: "Siapakah yang menceritakan kepada anda? Dia menjawab: "Seorang syaikh di Wasit telah menceritakan kepada saya dan dia masih hidup." Lalu saya pergi menemuinya dan dia berkata: Seorang syaikh di Basrah telah menceritakan kepada saya." Kemudian saya pergi menemuinya dan dia berkata: Seorang syaikh di Abbadan telah menceritakan kepada saya." Lalu saya pergi menemuinya dan dia menarik tangan saya dan membawa masuk ke sebuah rumah. Tiba-tiba saya dapati di dalamnya sekumpulan pengikut tasawuf bersama seorang syaikh. Lelaki berkata kepada saya: "Syaikh inilah yang telah menceritakan kepada saya. Lalu saya berkata: "Wahai syaikh ! Siapakah yang telah menceritakan kepada anda? Dia menjawab: "Tidak ada sesiapapun yang menceritakan kepada saya tetapi saya melihat orang ramai tidak memberi perhatian kepada al-Quran maka saya menciptakan hadis ini untuk mereka supaya hati-hati mereka kembali berpaling kepada al-Quran.







Zikrullah

Photobucket

Jom Berhibur

Kalimah Cinta