DEMI MASA…………….

Isnin, 21 Disember 2009



Allah subhanahu wa ta’ala berfirman dalam surah al-Asr yang bermaksud:

“ Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang- orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.”

Assalamualaikum warahmatullaahi wabarokaatuh..hari ini 22 Disember 2009 bersamaan 05 Muharam 1431H, saya ingin mengulas isu yang berkaitan dengan penggunaan masa. Meski pun telah diketahui, sudah begitu ramai orang yang membicarakan tentang ‘masa’, malahan telah banyak terisi dalam pelbagai ruangan blog, media-media elektronik dan media cetak yang lain. Di kesempatan ini, saya juga ingin merebut peluang untuk berbicara tentang masa. Walau saya tahu, saya bukan orang yang selayaknya untuk membincangkan tentang hal ini. Tapi tidak menjadi kesalahan jika ia nya sebagai perkongsian dan peringatan untuk sesama kita yang bergelar hamba Allah ini.

Ramai juga dalam kalangan sahabat saya yang pernah menegur saya dengan cara sinis.
“Kamu ada masa ye Nasuha buat blog sendiri?? Saya tak ada masa untuk buat semua ini. Banyak lagi hal yang perlu saya buat” , dan macam-macam lagilah yang perlu saya terima respon daripada sahabat-sahabat yang saya kasihi. Ini jawapan daripada saya. Memang kalau nak diikutkan saya juga tiada masa untuk buat semua ini. Memang pada zahirnya, orang memandang saya tengah buang masa dengan berblog. Sedangkan, telah ramai sahabat seangkatan yang memiliki blog dan pelbagai ilmu dan manfaat dapat diperolehi dari blog mereka jika nak dibandingkan dengan blog saya yang serba dha’if ini.

Tapi, saya sedar..saya juga mempunyai tanggungjawab dalam hidup ini. Saya harap sangat agar dapat memberi manfaat kepada diri-sendiri dan orang lain dengan berkongsi sedikit sebanyak daripada hal-hal yang saya tahu, atau saya perolehi, Menyampaikan dakwah adalah wajib bagi setiap insan yang bergelar Muslim.
“Ilmu tanpa amal umpama pohon yang tidak berbuah”.

Saya akui, saya di antara orang-orang yang sering terlalai dan terleka dalam aspek pengurusan masa. Amat susah untuk menguruskan masa dengan baik. Banyak tanggungjawab yang perlu digalas dengan sebaiknya, yang menuntut kepada natijah daripada kualiti dan kuantiti yang terbaik. Allah ta’ala menganugerahkan masa 24 jam untuk setiap orang, tidak ada lebih dan kurangnya. Bergantung kepada kita sendiri untuk mengatur masa dan rutin harian kita.

Benarlah ada pepatah yang mengatakan '
Masa adalah kehidupan'. Hasan al-Basri juga mengatakan: "Wahai anak Adam, sesungguhnya kamu adalah himpunan beberapa hari, apabila berlalu pergi sebahagian hari maka sebahagian dari diri kamu juga berlalu pergi".

Perkara ini juga terkandung dalam kitabullahil ’aziz iaitu al-Qur’aanul kariim yang mengingatkan tentang dua pendirian insan yang menyesal kerana membuang waktu, dan tiada gunanya lagi sesalan.

PENDIRIAN PERTAMA:

Pada saat menjelang ajal, ketika seorang insan hampir meninggalkan dunia ini dan menuju ke alam akhirat, dan ia mengimpikan sekiranya diberikan secebis dari waktu dan ditundakan sedikit ajalnya untuk dia memperbaiki amalan buruknya dan mendapatkan kembali apa yang telah lenyap. Maka hal ini telah dirakamkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala dalam
surah al-Munafiqun ayat 10 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada nengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ”Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh.

Jawapan bagi angan kosong ini pastinya telah tercatat dalam firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam
surah al-Munafiqun ayat 11 yang membawa maksud:

"
Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan."


PENDIRIAN KEDUA:

Pada alam Akhirat, setiap jiwa akan diberikan ganjaran mengikut amalannya dan dibalas apa yang ia lakukan, ahli syurga akan memasuki syurga dan ahli neraka akan memasuki neraka. Ahli neraka mengimpikan ingin kembali sekali lagi kepada kehidupan yang penuh dengan tugasan. Mereka ingin memulakan semula amalan soleh. Permintaan mereka ini terlalu mustahil untuk ditunaikan. Zaman beramal telah berakhir, tiba pula zaman balasan atau yaumul hisab.

Allah ta’ala berfirman dalam
surah al-Fathir ayat 36 dan 37 yang bermaksud:

Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya. Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang pernah kami kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): “Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran, oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan.


Mereka kematian hujah dengan soalan yang membuntukan akal mereka dan dengan ini mereka tidak menemui jawapan lagi. Allah subhaanahu wa ta’ala tidak akan menerima sebarang alasan keuzuran setelah Allah memberikan setiap insan yang mukallaf peluang yang mencukupi untuk melaksanakan amalah yang telah diperintahkan.

Sama-samalah kita renungkan. Adakah kita tergolong daripada golongan yang beruntung atau golongan yang rugi?? Sama-sama kita muhasabah diri dan menghargai setiap saat yang Allah anugerahkan. Selagi Islam bergalas di bahu, selagi iman dan taqwa menjadi penyelamat, selagi nadi belum berhenti denyutannya. Sekian saja daripada saya buat renungan bersama ini. Terima kasih kerana meluangkan waktu untuk sama-sama beroleh manfaat.

[Dipetik dari buku
Nilai & Pengurusan Waktu dalam Hidup Muslim: Medium Pengislahan Diri oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm.35-38]








0 comments:

Catat Ulasan

Zikrullah

Photobucket

Jom Berhibur

Kalimah Cinta