Kisah Qabil & Habil

Rabu, 20 Oktober 2010




Assalamualaikum..alhamdulillah masih diberi peluang untuk berada di bumi pinjaman Allah S.W.T. Sudah agak lama laman blog ini dibiarkan menyepi..Idea terlalu banyak untuk diluahkan, namun kesempatan masa untuk menulis terkadang membantutkan niat saya untuk terus menulis. Untuk membiarkan laman ini terus bersawang mustahil bagi saya, oleh itu saya mengambil inisiatif dengan copy & paste dari tugasan saya bersama partner saya sendiri dalam madah Kajian Teks : Al-Qur'an dan Al-Hadith semasa semester 4 yang lalu.

Kami telah diberikan tugas oleh pensyarah kami iaitu Ustaz Anhar bin Opir untuk memilih satu kisah sahaja dari Kitab Qososul Anbiya' karangan Ibnu Kathir, untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan membuat ulasan serta perbandingan dengan kitab-kitab tafsir yang lain. Subhanallah..alangkah indahnya mempelajari kisah-kisah yang ada disebut dalam Ak-Qur'aanul Kariim. Kami telah memilih tajuk Qabil dan Habil untuk mengupas dengan lebih terperinci. Jom sama-sama kita baca, jika ada sebarang kekurangan dan kelemahan jangan segan-silu untuk menegur saya. Sesungguhnya saya masih dalam proses belajar. Masih bertatih dan tidak terlepas dari membuat kesilapan.

1.0 PENDAHULUAN :

Kitab Kisah Para Nabi karangan Abu Fida’ Ibnu Kathir merupakan kitab terjemahan yang menjadi sumber utama kami untuk diulas. Kami perlu melakukan ulasan terhadap salah satu kisah daripada kisah-kisah para Nabi sebagai satu tugasan kumpulan bagi subjek Kajian Teks Al-Qur’an dan Hadith. Di dalam kitab kisah para Nabi ini kami telah memilih satu tajuk mengenai kisah Anak Adam iaitu Habil dan Qabil, kisah ini terdapat di dalam

al-Qur’an surah al-Maidah ayat 27-31.

Untuk mengulas kisah ini kami telah memilih beberapa kitab tafsir lain sebagai rujukan pentafsirannya mengenai kisah ini, antaranya kitab Tafsir Fi Zilalil Qur’an karangan Asy-Syahid sayyid Qutb Rahimahullah, Tafsir al-Azhar Juzu’ 4 oleh Prof Dr. Hj AbdullahMalik AbdulKarim Amrullah (HAMKA), Tafsir Nurul Qur’an, sebuah Tafsir Sederhana Menuju Cahaya al-Qur’an oleh Allamah kamal Faqih Imani, Tafsir al-Mishbah, Pesan, Kesan dan Keserasian al-Qur’an karangan M.Quraish Shihab, Cahaya al-Qur’an, Tafsir Tematik Surah al-Baqarah – al-An’am oleh Muhammad ali Ash-Shabuny dan juga kitab Lubaabut Tafsir Min Ibn Kathir oleh Dr. Abdullah bin Muhammad bin Abdurahman bin Ishaq Al-Sheikh. Dalam ulasan ini, beberapa perkara yang kami cuba ketengahkan ialah mengenai rumusan kisah, persamaan dan perbezaan yang terdapat dalam kitab tafsir Ibn Kathir dengan kitab-kitab tafsir yang kami rujuk dan juga kesimpulan keseluruhan ulasan.

2.0 RUMUSAN KISAH QABIL DAN HABIL


Berdasarkan surah al-Maidah ayat 27-31 di dalam al-Qur’an telah menceritakan tentang kisah anak Nabi Adam iaitu Qabil dan Habil. Menurut pentafsiran kitab Ibn Kathir, kesimpulan kisah ini menceritakan tentang kejadian pembunuhan antara dua putera Nabi Adam iaitu Qabil dan Habil disebabkan perasaan hasad dengki. Kisah ini berlaku apabila Nabi Adam mahu menikahkan puteranya itu dengan anak perempuan kembaran puteranya, iaitu Habil menikah dengan kembaran Qabil manakala Qabil menikah dengan kembaran Habil. Namun Qabil telah menolak kerana beliau ingin menikah dengan kembarannya sendiri kerana ia lebih cantik daripada kembaran Habil.

Oleh kerana itu, Nabi Adam mengarahkan kedua-dua puteranya itu untuk mempersembahkan korban setiap seorang. Barangsiapa korbannya diterima Allah, maka dialah yang berhak menikahinya. Habil mempersembahkan kambing yang gemuk, manakala Qabil mempersembahkan hasil taninya yang buruk. Setelah itu, turun api menyambar korban habil dan mengabaikan korban Qabil. Lalu Qabil marah sehingga berkata “ Aku akan membunuhmu (Habil)”. Dan Habil menjawab, seperti firman Allah :

“ Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertaqwa”.

(Surah al-Maidah, ayat 27)

Disebabkan korban habil diterima, Qabil tidak puas hati sehingga pada suatu malam Qabil terlalu marah dan memukul Habil dengan besi dan menyebabkannya meninggal. Menurut tafsir Ibn Kathir, ada yang mengatakan Habil dibunuh dengan batu karang yang dilemparkan ke kepalanya ketika tidur oleh Qabil. Dan ada yang mengatakan Qabil mencekik leher Habil dan menggigitnya seperti binatang buas sehingga meninggal. Namun, sebenarnya Habil lebih kuat daripada Qabil tetapi beliau enggan membalas (melakukan dosa dengan membunuh) kerana lebih takut kepada Allah sepertimana beliau berkata di dalam surah al-Maidah ayat 28.

Kisah ini juga menceritakan tentang penyesalan Qabil apabila membunuh saudaranya sendiri sehingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan terhadap mayat Habil. Namun, Allah telah mengirimkan dua ekor burung gagak ke bumi, burung itu bertengkar dan mengakibatkan salah seekor daripadanya meninggal lalu burung yang hidup (membunuh) itu menggali lubang (tanah) untuk menguburkan saudaranya itu. Perbuatan itu disaksikan oleh Qabil lalu dia berasa kesal di atas perbuatannya lalu berkata “ Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu perbuat seperti burung gagak ini, lalu aku menguburkan mayat saudaraku ini”.

Dan akhirnya ia melakukan apa yang dilakukan oleh burung gagak tersebut, menggali tanah dan menguburkannya dalam lubang tersebut. Dan perbuatannya itu telah menimpakan kerugian kepada dirinya (Qabil) sehingga dia berasa kesal . Kisah ini juga menunjukkan contoh penyakit hasad dengki atau dosa jenayah yang pertama dilakukan oleh manusia yang merangsangkan kesedaran terhadap perlunya satu syari’at yang menjalankan undang-undang qisas yang adil dan menerima balasan setimpal terhadap jenayah yang dilakukan .

3.0 PERSAMAAN

Berdasarkan kepada enam buah kitab tafsir yang di rujuk untuk membantu kami membuat ulasan terhadap kitab Tafsir Ibnu Kathir mengenai kisah Anak Adam : Qabil dan Habil, terdapat beberapa persamaan dalam pentafsiran ayat 27-31 dari surah al-Maidah.

3.1 Persamaan Pertama : Korban yang dibawa oleh Anak-anak Adam.

Persamaan pertama dapat dilihat pada ayat 27 iaitu kesemua pentafsir dari enam kitab tafsir yang kami rujuk menyatakan bahawa kedua-dua anak Nabi Adam menyediakan korban masing-masing iaitu Habil menyediakan kambing yang gemuk manakala Qabil menyediakan hasil tani yang jelek dan hanya salah seorang saja yang diterima oleh Allah iaitu dari orang-orang yang bertaqwa.

3.2 Persamaan Kedua : Alat yang digunakan untuk Membunuh

Pada ayat 28 pula, hanya pentafsir daripada kitab Tafsir al-Azhar sahaja yang mempunyai persamaan dengan tafsir Ibnu Kathir yang menyatakan bahawa Qabil membunuh Habil dengan menggunakan batu karang. Kitab tafsir yang lain tidak menyatakan tentang ini. Namun kesemua pentafsir mentafsirkan bahawa Habil tidak membalasi atau melakukan pembunuhan terhadap Qabil walaupun dia lebih kuat daripada Qabil kerana dia lebih takut kepada Allah. Dan dengan ketaqwaan dirinya itulah yang menahan dia daripada melakukan dosa.

3.3 Persamaan Ketiga : Kebaikan Habil

Merujuk kepada ayat 29, kesemua pentafsir daripada enam kitab tafsir itu menjelaskan bahawa Habil tidak mahu membawa dosa saudaranya (membunuh). Dosa orang yang dibunuh akan ditanggung oleh orang yang membunuhnya. Jika Qabil meneruskan niatnya untuk membunuh, jadilah dia penghuni neraka sebagai balasan bagi orang yang membuat zalim. Maksud ayat ini ialah jika engkau meneruskan pembunuhan, engkau (Qabil) akan menerima dua dosa iaitu dosa hati yang tidak ikhlas kepada Allah (membunuh) dan dosa membunuh saudara sendiri.

3.4 Persamaan Keempat : Dorongan Nafsu Qabil dan Burung Gagak

Persamaan seterusnya pada ayat 30 dan 31 dari surah al-Maidah ialah mengenai dorongan nafsu Qabil untuk melakukan pembunuhan dan tentang burung gagak yang dikirimkan oleh Allah s.w.t. Di sini, para pentafsir semuanya mentafsirkan tentang Qabil terdorong oleh nafsunya untuk membunuh Habil sehingga Habil meninggal dunia. Setelah itu, Qabil tidak tahu hendak berbuat apa dengan mayat saudarnya itu sehinggalah Allah mengirimkan dua ekor burung gagak dan kedua-duanya bertengkar sehingga salah satu daripadanya membunuh yang lainnya.

Lalu, burung itu menggali tanah untuk menguburkan saudarnya itu. Kejadiannya ini disaksikan oleh Qabil dan lalu berkata “ Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku?”. Lalu Qabil pun menanam saudaranya sepertimana yang dilakukan oleh burung gagak. Maka akhirnya Qabil menyesal akan apa yang telah dilakukannya

Merujuk kepada kitab Ibn Kathir, terdapat hadith yang dikemukakan mengenai kisah ini ialitu Nabi S.a.w telah bersabda : “Tiada seorang yang terbunuh secara zalim melainkan pada anak Adam yang pertama bagian darahnya, kerana ia yang pertama kali membuat contoh pembunuhan. (HR. Ahmad). Hadith ini juga merupakan persamaan yang dikemukakan dalam semua kitab-kitab tafsir yang dirujuk.

4.0 PERBEZAAN

Terdapat beberapa perbezaan yang dapat dikesan berdasarkan kelima-lima kitab tafsir yang dirujuk dengan kitab tafsir asal ‘ Qososul Anbiya’ ’ .

4.1 Perbezaan Pertama : Huraian Ayat

Terdapat beberapa kitab tafsir yang dirujuk yang menjelaskan dan menghuraikan makna bagi setiap istilah yang terdapat dalam ayat 27 hingga 31 secara terperinci. Kitab-kitab tafsir tersebut adalah tafsir Fi Zilalil Qur’an, tafsir Cahaya al-Qur’an, tafsir Al-Azhar, tafsir al-Mishbah, dan juga tafsir Nurul Qur’an.

Contohnya, merujuk kepada kitab tafsir Al-Mishbah ada menghuraikan kata utlu (bacakanlah), terambil dari kata tala-yatlu, yang beerti mengikuti. Pembaca satu kisah adalah orang yang mengikutkan penyebutan satu berita dengan berita yang sesudahnya. Menurut tafsir ini juga, al-Qur’an menggunakan kata tala yang beerti membaca untuk objek bacaan yang suci atau yang hak dan benar.

4.2 Perbezaan Kedua : Alat yang digunakan oleh Qabil

Merujuk kepada kitab tafsir Al-Azhar, pentafsir telah mengemukakan pendapat daripada ahli-ahli tafsir lain yang ada menyebut tentang kisah pembunuhan Qabil terhadap saudaranya Habil. Menurutnya, Qabil menimpakan batu hingga pecah kepala Habil ketika Habil sedang nyenyak tidur di pinggir gunung selepas penat mengembala kambing.

4.3 Perbezaan Ketiga: Bilangan dan Keadaan Burung Gagak

Menurut tafsir al-Azhar, hanya seekor burung gagak yang datang mengorek tanah, mencari-cari makanan, menggali tanah dan menimbunnya kembali. Selain itu, merujuk kepada tafsir Al-Mishbah pula, riwayat mengatakan bahawa burung gagak yang menggali lubang untuk menguburkan burung gagak yang dibunuhnya. Manakala disisi lain pula, dapat juga dikatakan bahawa burung gagak termasuk salah satu burung yang biasa menggali lubang untuk digunakan pada kesempatan lain atau boleh jadi ia menggali tanah untuk mendapatkan sesuatu yang dapat dimakan.

Di samping huraian dalam kitab tafsir al-Azhar dan juga tafsir al-Mishbah, disebut juga dalam kitab tafsir Nurul Qur’an yang telah mengemukakan hadis yang diriwayatkan oleh Imam ash-Shadiq as bahawa ketika Qabil membunuh saudaranya, dia meninggalkan mayatnya di padang pasir, sebab dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Dengan segera seekor binatang buas mendekati mayat Habil, dia menunjukkan kepada Qabil cara-cara menyembunyikan mayat saudaranya di dalam tanah.

4.4 Perbezaan Keempat : Anak-anak Adam as.

Tafsir al-Azhar telah mengemukakan beberapa pendapat ahli tafsir yang lain yang menyatakan sekali nama saudara kembar perempuan Habil iaitu Leodza dan tidak disebut di dalam kitab Qososul Anbiya’. Leodza dikatakan telah dijodohkan Qabil, dan Iqlima pula dijodohkan kepada Habil. Namun, Qabil telah jatuh hati kepada saudara kembarnya sendiri iaitu Iqlima.

4.5 Perbezaan Kelima : Mengekalkan Kisah

Menurut asy-syahid Sayyid Qutb rahimahullah dalam kitab tafsirnya , beliau mengekalkan kisah ini dalam bentuknya yang umum tanpa diperincikan sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam nas-nas al-Qur’an. Sedangkan, menurut beliau lagi, penceritaan secara terperinci tidak menambah sesuatu kepada matlamat asasi dan kemungkinan tidak mencapai maksud yang disampaikan oleh al-Qur’anul kariim dan kemungkinan akan berlaku perkara tokok tambah. Oleh itu, beliau memilih untuk berhenti setakat apa yang dijelaskan oleh nas-nas al-Qur’an sahaja tanpa membuat penentuan dan perincian.

5.0 PENUTUP

Kesimpulannya, al-Qur’an perlu dijadikan sebagai sumber rujukan utama selain al-Hadith dan as-Sunnah. Kisah-kisah yang terdapat dalam al-Qur’an mempunyai banyak pengajaran dan panduan hidup manusia. Sebagaimana dengan ayat 27 hingga 31 yang telah dibincangkan. Kisah ini menjadi iktibar pembunuhan pertama kalinya berlaku di muka bumi dalam sejarah manusia yang disebabkan oleh wanita, hasad dengki, tamak haloba, dendam dan sifat-sifat mazmumah yang terpahat dalam jiwa manusia.

Di samping itu, Allah telah menyediakan jalan penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi segala masalah yang dihadapi oleh manusia. Antara hikmah yang terdapat dalam kisah ini menunjukkan bahawa manusia hendaklah berhati-hati dengan penyakit hati dan sifat-sifat mazmumah. Bukan hanya terus mengikut kehendak nafsu dan hasutan iblis laknatullah.

Selain itu, kisah Qabil dan Habil ini juga menjelaskan tentang asal-usul manusia sekali gus menolak teori-teori Barat yang mengatakan manusia berasal daripada beruk atau monyet. Bermula daripada Adam dan Hawa, manusia mula berkembang-biak yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang, keturunan, agama, budaya dan sebagainya.
















0 comments:

Catat Ulasan

Zikrullah

Photobucket

Jom Berhibur

Kalimah Cinta