DEMI MASA…………….

Isnin, 21 Disember 2009



Allah subhanahu wa ta’ala berfirman dalam surah al-Asr yang bermaksud:

“ Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang- orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.”

Assalamualaikum warahmatullaahi wabarokaatuh..hari ini 22 Disember 2009 bersamaan 05 Muharam 1431H, saya ingin mengulas isu yang berkaitan dengan penggunaan masa. Meski pun telah diketahui, sudah begitu ramai orang yang membicarakan tentang ‘masa’, malahan telah banyak terisi dalam pelbagai ruangan blog, media-media elektronik dan media cetak yang lain. Di kesempatan ini, saya juga ingin merebut peluang untuk berbicara tentang masa. Walau saya tahu, saya bukan orang yang selayaknya untuk membincangkan tentang hal ini. Tapi tidak menjadi kesalahan jika ia nya sebagai perkongsian dan peringatan untuk sesama kita yang bergelar hamba Allah ini.

Ramai juga dalam kalangan sahabat saya yang pernah menegur saya dengan cara sinis.
“Kamu ada masa ye Nasuha buat blog sendiri?? Saya tak ada masa untuk buat semua ini. Banyak lagi hal yang perlu saya buat” , dan macam-macam lagilah yang perlu saya terima respon daripada sahabat-sahabat yang saya kasihi. Ini jawapan daripada saya. Memang kalau nak diikutkan saya juga tiada masa untuk buat semua ini. Memang pada zahirnya, orang memandang saya tengah buang masa dengan berblog. Sedangkan, telah ramai sahabat seangkatan yang memiliki blog dan pelbagai ilmu dan manfaat dapat diperolehi dari blog mereka jika nak dibandingkan dengan blog saya yang serba dha’if ini.

Tapi, saya sedar..saya juga mempunyai tanggungjawab dalam hidup ini. Saya harap sangat agar dapat memberi manfaat kepada diri-sendiri dan orang lain dengan berkongsi sedikit sebanyak daripada hal-hal yang saya tahu, atau saya perolehi, Menyampaikan dakwah adalah wajib bagi setiap insan yang bergelar Muslim.
“Ilmu tanpa amal umpama pohon yang tidak berbuah”.

Saya akui, saya di antara orang-orang yang sering terlalai dan terleka dalam aspek pengurusan masa. Amat susah untuk menguruskan masa dengan baik. Banyak tanggungjawab yang perlu digalas dengan sebaiknya, yang menuntut kepada natijah daripada kualiti dan kuantiti yang terbaik. Allah ta’ala menganugerahkan masa 24 jam untuk setiap orang, tidak ada lebih dan kurangnya. Bergantung kepada kita sendiri untuk mengatur masa dan rutin harian kita.

Benarlah ada pepatah yang mengatakan '
Masa adalah kehidupan'. Hasan al-Basri juga mengatakan: "Wahai anak Adam, sesungguhnya kamu adalah himpunan beberapa hari, apabila berlalu pergi sebahagian hari maka sebahagian dari diri kamu juga berlalu pergi".

Perkara ini juga terkandung dalam kitabullahil ’aziz iaitu al-Qur’aanul kariim yang mengingatkan tentang dua pendirian insan yang menyesal kerana membuang waktu, dan tiada gunanya lagi sesalan.

PENDIRIAN PERTAMA:

Pada saat menjelang ajal, ketika seorang insan hampir meninggalkan dunia ini dan menuju ke alam akhirat, dan ia mengimpikan sekiranya diberikan secebis dari waktu dan ditundakan sedikit ajalnya untuk dia memperbaiki amalan buruknya dan mendapatkan kembali apa yang telah lenyap. Maka hal ini telah dirakamkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala dalam
surah al-Munafiqun ayat 10 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada nengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ”Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh.

Jawapan bagi angan kosong ini pastinya telah tercatat dalam firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam
surah al-Munafiqun ayat 11 yang membawa maksud:

"
Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan."


PENDIRIAN KEDUA:

Pada alam Akhirat, setiap jiwa akan diberikan ganjaran mengikut amalannya dan dibalas apa yang ia lakukan, ahli syurga akan memasuki syurga dan ahli neraka akan memasuki neraka. Ahli neraka mengimpikan ingin kembali sekali lagi kepada kehidupan yang penuh dengan tugasan. Mereka ingin memulakan semula amalan soleh. Permintaan mereka ini terlalu mustahil untuk ditunaikan. Zaman beramal telah berakhir, tiba pula zaman balasan atau yaumul hisab.

Allah ta’ala berfirman dalam
surah al-Fathir ayat 36 dan 37 yang bermaksud:

Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya. Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang pernah kami kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): “Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran, oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan.


Mereka kematian hujah dengan soalan yang membuntukan akal mereka dan dengan ini mereka tidak menemui jawapan lagi. Allah subhaanahu wa ta’ala tidak akan menerima sebarang alasan keuzuran setelah Allah memberikan setiap insan yang mukallaf peluang yang mencukupi untuk melaksanakan amalah yang telah diperintahkan.

Sama-samalah kita renungkan. Adakah kita tergolong daripada golongan yang beruntung atau golongan yang rugi?? Sama-sama kita muhasabah diri dan menghargai setiap saat yang Allah anugerahkan. Selagi Islam bergalas di bahu, selagi iman dan taqwa menjadi penyelamat, selagi nadi belum berhenti denyutannya. Sekian saja daripada saya buat renungan bersama ini. Terima kasih kerana meluangkan waktu untuk sama-sama beroleh manfaat.

[Dipetik dari buku
Nilai & Pengurusan Waktu dalam Hidup Muslim: Medium Pengislahan Diri oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm.35-38]








33 Pasangan Kahwin Serentak


PENGANTIN bergambar beramai-ramai sempena mahlis pernikahan
berama-ramai Peringkat negeri Johor 2009 di Masjid Sultan Abu Bakar
pada 20 Disember 2009 bersamaan 03 Muharam 1431H.


Sempena sambutan Maal Hijrah 1431, 33 pasangan pengantin baru selamat melangsungkan perkahwinan secara beramai-ramai dalam satu majlis perkahwinan istimewa yang diadakan di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru pada 20 Disember 2009.

Majlis perkahwinan yang dianjurkan kali kedua itu juga unik kerana turut membabitkan 13 pasangan Orang Asli selain pengantin dari luar negeri Johor serta saudara baru yang memeluk Islam.

Pengarah Jabatan Agama Johor (Jaj), A Rahman Jaffar, berkata kepelbagaian latar belakang pengantin itu sebenarnya memberi peluang dan ruang kepada pihaknya untuk melebar dan meluaskan jaringan dakwah selain penerapan syiar Islam kepada masyarakat bukan saja di negeri ini, malah juga di negeri lain.

“Justeru, program ini juga dilihat secara langsung menyahut seruan 1Malaysia seperti yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali gus ia diharap menyemarakkan lagi institusi dalam hubungan kekeluargaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Majlis Pernikahan Beramai-ramai Peringkat Negeri Johor 2009 di Kompleks Islam Johor bertemakan ‘Hijrah Insaniah’ itu yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu. Ia dianjurkan Jaj dengan kerjasama Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Johor.

A Rahman berkata, setiap pasangan hanya dikenakan bayaran minimum RM500 dan perbelanjaan keseluruhan mencecah RM20,000 termasuk kos jurunikah, pakaian pengantin, andaman, rakaman video, fotografi, pe-lamin dan jamuan.

“Sambutan baik apatah lagi tujuan majlis ini diadakan untuk membantu urusan pernikahan serta mengurangkan beban berkahwin dengan menyediakan kos yang minimum kerana kita sedia maklum ada di kalangan kita berdepan dengan ketidakseimbangan ekonomi dan kos sara hidup tinggi, ” katanya.

Pasangan pengantin Orang Asli, Mohammad Iman Majid, 22, dan Nur Ai-syah Abdullah,19, bersyukur kerana dapat menjadi antara pasangan pengantin yang diijabkabulkan menerusi program berkenaan selain dapat meringankan beban mereka.

Mohammad Iman berkata, beliau gembira kerana hasrat untuk memperisterikan Nur Aisyah termakbul apatah lagi kehidupan mereka sebagai nelayan tidak memudahkan untuk membuat urusan perkahwinan disebabkan faktor kewangan yang tidak menentu.

“Saya menganggap rezeki bergelar pengantin baru berkat memeluk Islam kira-kira dua tahun lalu manakala isteri pula bergelar saudara baru sejak lima tahun lalu, sekali gus melengkapkan impian kami untuk hidup bersama sehingga ke akhir hayat.

“Justeru, saya bercadang untuk membawa isteri mengelilingi lautan yang menjadi sumber rezeki kami menangkap ikan sebagai hadiah untuk bulan madu perkahwinan kami,” katanya yang berasal dari Kampung Bakar Batu di Permas Jaya di sini.

Salam Ma'al Hijrah 1431H

Sabtu, 19 Disember 2009


Assalamualaikum warahmatullaahi wabarokaatuh..Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kerana dengan izin-Nya dapat lagi untuk saya menghidupkan ruangan blog ini setelah hampir sebulan saya menyepi. Hari ini 19 Disember 2009 bersamaan dengan 2 Muharam 1431H. Salam ma’al hijrah buat seluruh umat Islam. Moga kita semua sentiasa di bawah lindungan rahmat-Nya.

Apabila menyebut tentang hijrah atau tahun baru Islam, lazimnya kita tidak akan lari dari menyebut atau menyingkap kembali lembaran sirah Nabi Muhammad s.a.w bersama-sama sahabat muhajirin, berhijrah dari Kota Makkah ke Kota Madinah. Peristiwa hijrah ini merupakan lambang penyatuan umat di dunia demi agama Islam yang tercinta. Selain itu, bahang sambutan ma’al hijrah dihangatkan lagi dengan menyebut tentang membetulkan niat, memperbaiki sikap dan amalan, memperbaharui azam, mengeratkan hubungan persaudaraan dan perpaduan, dan seumpamanya. Ayuh kita mengenang kembali hadis nabi saw.

Malahan, setiap tahun dapat dilihat sambutannya di Malaysia, pelbagai tema atau slogan silih berganti bagi menghidupkan penghayatan terhadap rentetan peristiwa hijrah junjungan besar kita baginda s.a.w bersama para sahabatnya. Di samping itu, aktiviti-aktiviti ilmiah seperti ceramah, kuliah, konsert nasyid telah diadakan bagi mengajak umat Islam khususnya dan amnya kepada seluruh rakyat bagi bersama-sama menyelami, merenungi dan menghayati hikmah di sebalik peristiwa hijrah agar dapat dijadikan pedoman hidup.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin al-Khattab r.a, kata beliau, “ Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

" Hanyasanya (sah atau sempurna) segala amalan dengan niat. Hanyasanya untuk setiap orang apa yang dia niatkan. Oleh itu sesiapa berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah tujuan dia berhijrah tersebut."

(Riwayat al-Bukhori dan Muslim)

Hadis tersebut menjelaskan betapa pentingnya niat. Segala amalan yang hendak dilakukan mestilah didahului dengan niat. Selain itu, niat juga berkait rapat dengan kewajiban hijrah. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah S.W.T dalam Kitab al-Qur’an dalam surah an-Nisa’ ayat 100, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."


Sempena tahun baru 1431H ini, sama-samalah kita membetulkan niat kita kembali. Ingatlah asal-usul kita, tujuan kita wujud di atas dunia pinjaman ini, tanggungjawab dan peranan yang sedang digalas. Marilah perbaharui azam dan tekad kita untuk berhijrah dari sikap negatif kepada positif, dari kejahilan kepada keilmuan, dan dari kebatilan kepada kebenaran.

Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan disini, di mana lagi? Renung-renungkanlah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."


( Surah Luqman ayat 34)

Berubahlah sebelum terlambat, jangan sampai Maut hadir menjemput baru kita nak bertaubat. Mati tak mengira usia. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
(Surah al-Anbiya’ ayat 35)

Marilah kita sama-sama berhijrah. Sama-sama berhijrah dan berjihad di jalan Allah dalam menegakkan dan mempertahankan agama Islam yang tercinta. Tautkanlah dan satukanlah hati-hati kita dalam meneruskan perjuangan Rasulullah S.A.W serta mengembalikan kegemilangan Islam.

"Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, kemudian mereka di bunuh atau mati, benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka rezki yang baik (syurga). Dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rezki."
(surah al-Haj ayat 58)


Begitu juga dalam surah al-Anfaal ayat 72 Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertoIongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itu satu sama lain ‘lindung-melindungi’. Dan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajiban sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

‘Lindung-melindungi’ bermaksud orang Muhajirin dan Orang Ansar nenjalinkan ikatan persaudaraan yang sangat teguh untuk membentuk masyarakat yang baik. Demikianlah keteguhan dan keakraban mereka itu sehingga pada permulaan Islam mereka waris-mewarisi seakan-akan mereka bersaudara kandung.

Zikrullah

Photobucket

Jom Berhibur

Kalimah Cinta